Monday, March 22, 2010

Mengapa Manusia Tidak Mahu Menerima Al-Quran?

Sumber utama bagi umat Islam ialah Al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah bahan rujukan yang diwahyukan kepada seorang wakil manusia bagi seluruh umat manusia di dunia supaya tunduk dan akur kepada Tuhan yang Esa. Al-Quran diturunkan oleh Tuhan melalui perantaraan malaikat, bagi membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan berlandaskan wahyu tanpa melakukan kebinasaan di dunia juga menjamin kehidupan di akhirat kelak.


Persoalannya kini, mengapa masih ada segolongan manusia yang mengenepikan dan tidak menghiraukan isi kandung Al-Quran sedangkan segala kebenaran terdapat di dalamnya? Pembuktian kebenaran terhadap alam menerusi ilmu sains kini, telah jelas menerangkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Sebagai contoh, kejadian alam ini ada dijelaskan di dalam disiplin ilmu geologi dan astronomi. Proses kejadian manusia, ada dijelaskan di dalam disiplin ilmu biologi, medical dan sebagainya. Samudera lautan yang luas, ada dijelaskan di dalam ilmu oseonografi dan sudah pasti banyak lagi ilmu sains terkini sudah mampu menjelaskan segala kemusykilan yang sukar dijawab pada zaman dahulu.


Bukankah semua ilmu ini ada dijelaskan dengan terang dan nyata di dalam Al-Quran? Bukankah semuanya terdapat bukti akan kebenarannya?


Mengapa anda masih lagi tidak mahu mengakuinya?


Buku yang sedang anda pegang ini akan membawakan kepada anda satu kebenaran dan pembuktian yang jelas berkenaan dengan kelebihan, kebenaran dan mukjizat Al-Quran. Mukjizat ini bukanlah hanya ‘hidup’ pada zaman penurunannya sahaja, tetapi ianya terus ‘hidup’ dengan membawakan bukti-bukti yang amat relevan pada masa dahulu, sekarang dan masa akan datang.