Monday, March 22, 2010

Keperluan Sains Dalam Kehidupan

Faedah dan kepentingan sains di dalam kehidupan seharian memang tidak dapat dinafikan oleh semua manusia. Sains dapat memberikan suatu insprisasi baru terhadap kehidupan manusia sejagat. Kelebihan dan kemanfaatan bidang ilmu ini dapat dilihat di dalam ruang perspektif dunia kini.

Perubahan dan ledakan baru akibat dari penemuan-penemuan terkini di dalam disiplin ilmu sains dapat dipertengahkan dengan melihat teknologi terkini akibat dari evolusi sains itu. Banyak ciptaan dan rekaan dapat dihasilkan dari penemuan sains. Manusia kini bergantung harap kepada penemuan-penemuan baru bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan hidup dan menikmati hidup ini dengan sepuas-puasnya. Namun demikian, lama kelamaan sains semakin berkembang tanpa had dan batasan. Penemuan demi penemuan yang baru dapat diketemui bagai cendawan yang baru tumbuh selepas hujan. Sains kini seperti ombak yang besar membawa manusia seolah-olah ke alam dan dimensi baru dalam era kehidupan manusia sejagat.

Meyorot kembali sejarah ketamadunan dan kemajuan sains yang dipelopori tokoh-tokoh sarjana Islam, perkembangan sains sebenarnya bukanlah datang dari Barat seperti yang didakwa oleh sarjana-sarjana dan para ilmuan negara Barat, tetapi ianya datang dari negara-negara Islam suatu ketika dahulu. Perkembangan sains kini hanyalah sekadar diperkembangkan dan diolah semula tetapi asal usulnya datang dari para ilmuan Islam.
Kehebatan dan ketinggian ilmu yang diperolehi daripada para ilmuan Islam yang terunggul pada abad kesebelas yang lalu iaitu kesan selepas kejatuhan empayar di Sepanyol lalu menjadi hak bagi orang-orang Islam, maka dapatlah orang-orang Barat datang dan mendalami ilmu yang ada pada tokoh-tokoh sains Islam pada zaman tersebut. Sejarah dunia menerangkan bahawa Zaman Kegelapan atau ‘The Dark Ages’ merupakan zaman yang cukup ngeri dan merupakan igauan hitam bagi orang-orang Eropah suatu ketika dahulu.

Ilmu yang menjadi asas kepada orang-orang Barat sebenarnya merupakan asuhan dari orang-orang Islam itu sendiri yang menyebarkan ilmu mereka kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari ilmu serta penemuan-penemuan mereka. Tidaklah benar hakikat bahawa semua ilmu berkenaan dengan sains itu asalnya datang atau lahir dari golongan pemikir-pemikir Barat, tetapi cuma sekadar menghadiri kelas sahaja!

Ilmu sains kini terus berkembang pesat dan membiak dengan adanya keinginan serta kemahuan para pelajar yang datang dari Eropah ini ke Andalusia pada ketika dahulu untuk membawa pulang sebahagian buku-buku serta ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari dan dalami di sana. Ilmu Islam juga berkembang pesat di dunia Islam dari tahun 900 hingga 1400 Masihi. Tetapi apa yang berlaku di dalam masa yang sama di negara Eropah ialah mereka memang berada di dalam zaman kemunduran dari aspek keilmuan dan kehadiran Islam sebenarnya adalah seperti satu sinar dan cahaya baru bagi Eropah.

Setelah berlakunya reformasi dikalangan orang-orang Barat, khususnya bagi orang-orang Kristian, mereka mula mengembangkan daya pemikiran mereka dengan pelbagai binaan, rekaan dan ciptaan yang baru, kesan dari perubahan cara hidup. Revolusi pertanian bertukar kepada revolusi industri dan revolusi demi revolusi berlaku di negara Barat setelah mereka bangkit dari zaman kegelapan mereka yang berlaku selama hampir 1000 tahun.

Barat seharusnya berterima kasih kepada tamadun Islam yang banyak memberikan peluang dan perubahan kepada dunia Barat kini. Islam telah berjaya membawa dunia kejahilan Barat kepada dunia perkembangan ilmu serta pembangunan teknologi.