Monday, March 22, 2010

Al-Quran tidak bercanggah dengan akal

Konsep asas logik akal bagi manusia adalah menerima segala penemuan dan hasil adalah berdasarkan kepada bukti yang jelas. Akal tidak dapat menerima sesuatu perkara yang tidak jelas akan bukti dan hujahnya. Kewujudan Al-Quran adalah selari dengan fitrah dan juga akal manusia. Kemukjizatan Al-Quran ini adalah diperakuI. Buktinya, lihat sahaja kandungan dan ayat-ayat yang menerangkan fakta-fakta dan penemuan-penemuan terkini yang selari dan langsung tidak bercanggah dengan logik akal.

Terdapat banyak tanda-tanda atau bukti yang selari dengan penemuan sains dan juga logik akal yang menunjukkan bahawa segala sesuatu itu jelas dan nyata diterangkan di dalam Al-Quran. Kejadian dan proses pembentukan manusia di dalam rahim contohnya, telah jelas bahawa Al-Quran menceritakan dan ianya selari dengan penemuan sains kini! Bukan itu sahaja, malah alam yang terbentang luas ini juga, termasuk bintang dan matahari juga ada disebutkan dan dijelaskan dengan tepat di dalam Al-Quran. Firman Tuhan di dalam Surah Fussilat (Yang dijelaskan satu persatu), ayat 53 yang bermaksud;

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?